Saya telah memilih video ini bagi refleksi minggu ketiga. Video iklan ini banyak pengajaran dan teladan yang boleh kita pelajari. Saksikanlah, pasti hati anda tersentuh menontonnya kerana setiap anak yang lahir dalam dunia ini perlukan ibu bapa.
Selepas selesai menonton video ini, saya berasa sangat sedih kerana seorang anak yang tidak tahu bersyukur mempunyai bapa yang cukup penyayang, baik dan sanggup berkorban. Walaupun bapanya seorang yang pekak dan bisu tetapi bapanya masih sanggup menyediakan keperluannya dengan sebaik mungkin meskipun latar belakang keluarganya agak daif. Lihat sahaja contoh pada hari ini, seorang bapa yang cukup sempurna, bekerjaya, kaya tetapi belum tentu dapat mengingati hari jadi anaknya tetapi bapa pekak ini sanggup membelikan kek hari jadi anaknya walaupun hanya mencari rezeki dengan berniaga.
Selain itu, saya begitu marah dengan tindakan anaknya membunuh diri apabila malu dek kerana sering diejek oleh rakan sekolah tentang bapanya yang bisu dan pekak itu. Kemudian, situasi bapa pekak ini merayu pada doktor agar dapat menyelamatkan anaknya membuat saya begitu sedih dan terharu melihat raut wajahnya yang sangat sayang dan risau melihat anaknya, sedangkan anaknay tiada sikit pun rasa sayang dan kasihan pada bapanya. Saya dapat rasa begitu kasihnya seorang bapa pekak ini kepada anaknya, meskipun dia bukan bapa yang sempurna. Saya dapat rasa yang hidupnya begitu penuh kasih sayang sehingga sanggup berkorban menderma darah meskipun dia perlu mati. Bagi saya sukar untuk menemui seorang bapa seperti ini, amat malang bagi anak ini yang tidak tahu menghargai orang tuanya.
Implikasi pada diri saya selepas menonton iklan ini, saya ingin membuat ibu bapa saya bahagia, bangga kerana ada anak seperti saya. Saya lebih berazam dan bermotivasi untuk menjadi seorang anak yang baik untuk ibu bapa saya selagi mereka masih hidup. Malah, saya ingin membuat sesuatu agar mereka bangga dan menjadikan kenangan paling terindah dalam hidup mereka serta saya ingin menjadi role model yang terbaik untuk adik- adik saya agar mereka tahu untuk menghormati orang tua, menyayangi dan mengasihi mereka. Namun begitu, saya berdoa agar saya mampu mendidik emosi saya untuk mencapai kesejahteraan hidup sekaligus membuat orang disekeliling saya gembira.
Secara tuntasnya, iklan video ini mengajar saya untuk tahu menghargai ibu bapa dan orang sekeliling kita meskipun mereka tidak sempurna. Malah, iklan ini juga mendidik saya untuk menjadi anak yang solehah dengan menghargai setiap perbuatan ibu bapa kita terutama kasih sayang dan pengorbanan mereka sebelum mereka pergi tinggalkan kita. Pada masa itu, penyesalan tiada gunanya, air mata darah sekalipun tidak bisa menggantikan kasih sayang ibu bapa. Bagi saya bersyukur adalah perkara yang paling utama dalam kehidupan agar kita dapat melalui hari-hari kita dengan penuh rasa gembira meskipun orang sekeliling sedang tertawa melihat keadaan kita. Percayalah, "kita tak perlu jadi orang lain sebab ada orang yang ingin jadi seperti kita".
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment